Boustead Plantations 2Q profit up 51% on stronger palm oil prices, cautions about high costs in 2H
23 August 2022Colourful, vibrant BPlant on Batik Thursdays
25 August 2022KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Boustead Plantations Bhd (BPB) meningkat 51 peratus kepada RM73.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, daripada RM48.38 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil meningkat 44 peratus kepada RM348.96 juta daripada RM242.78 juta sebelum ini disebabkan kenaikan harga produk sawit, yang membawa kepada keuntungan daripada operasi sebanyak RM112.5 juta, kata kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku kedua, harga purata minyak sawit mentah (MSM) berada pada RM6,611 setan, lebih tinggi daripada suku yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM4,014 setan.
Harga purata bulanan MSM tertinggi ialah pada RM6,857 satu tan yang dicatatkan pada Mei 2022, melepasi harga purata bulanan MSM tertinggi pada suku lepas iaitu RM6,780 satu tan pada Mac 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abidin Shariff, berkata prestasi terbaharu kumpulan itu adalah hasil daripada usaha berterusan dalam inisiatif prestasi hasil, khususnya dalam Program Penambahbaikan Prestasi Perladangan (PPIP) yang sedang berlangsung, di samping keupayaan kumpulan untuk mengurus kos secara efektif.
Bagaimanapun, cuaca yang buruk dan kekurangan tenaga buruh akan terus memberi kesan kepada prestasi hasil kumpulan, katanya.
“Pada suku semasa, kenaikan harga diesel adalah antara faktor yang mempengaruhi kos pengeluaran kami.
“Bagaimanapun, langkah-langkah proaktif yang telah kami laksanakan di bawah PPIP membolehkan kami mengimbangi kesannya,” kata beliau.
Mengenai prospek, Zainal Abidin berkata harga minyak sawit semasa dijangka mengalami pembetulan selanjutnya pada separuh kedua 2022, memandangkan stok dijangka tinggi disebabkan Indonesia menarik balik larangan eksport dan peningkatan dalam kuota eksport, konflik Ukraine-Russia yang berterusan serta perubahan iklim global.
“Kumpulan dijangka mencatat peningkatan yang munasabah dalam pengeluaran tanaman selaras dengan kemajuan PPIP dan Strategi Penciptaan Semula Boustead.
“Kami juga menjangkakan kos pengeluaran akan meningkat pada separuh kedua 2022 disebabkan kesan gaji minimum dan kenaikan harga baja,” tambahnya.
Sehubungan itu lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 2.75 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Disember 2022, yang perlu dibayar pada 27 September 2022.
Source: Bernama